Tuesday, February 10, 2009

Kayuhan sulung Akmal bertenaga


PENYERTAAN sulungnya pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang sudah memasuki edisi ke-14 ini bagaikan membawa makna tersendiri kepada pelumba muda pasukan MNCF, Mohd. Akmal Amrun.

Mana tidaknya, pelumba berusia 22 tahun ini mempamerkan aksi mengagumkan apabila menempatkan diri pada kedudukan kelima keseluruhan selepas selesai mengharungi saingan peringkat pertama.

Pelumba yang berasal dari Selangor itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memisahkan diri bersama dua pelumba lain daripada kelompok besar sebaik perlumbaan memasuki jarak 35km.

Ia membolehkannya pada satu ketika berada empat minit di depan kelompok besar di samping meraih tempat 3-3-1 pada tiga zon pecutan dan tempat kedua pada satu zon pendakian.

"Ini adalah penampilan pertama saya pada LTdL. Jadi saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza dengan melakukan pecutan pemisah lebih awal dan ia berhasil apabila saya berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan.

"Ia satu permulaan yang baik walaupun saya berjaya ditangkap kelompok besar ketika perlumbaan masih ada 30km lagi untuk tamat.

"Pengalaman yang menarik untuk saya jadikan bekalan menghadapi perlumbaan peringkat seterusnya," katanya.

Sementara itu, jurulatih negara, Jamaluddin Omar berkata, kerjasama sepasukan serta strategi yang mereka tampilkan untuk sentiasa berada di kelompok depan membolehkan pelumba negara berhak meraih kegembiraan awal ini.

"Mereka mengikut arahan supaya jangan sesekali berada di kelompok belakang sebaliknya sentiasa memastikan berada di depan. Ini ternyata berbaloi apabila pelumba negara berjaya menyaingi pelumba luar dalam segenap segi setakat ini," katanya.

Pengurus pasukan, Amrun Misnoh pula ternyata berpuas hati dengan strategi yang digunakan pelumba negara kerana bijak membaca pergerakan pasukan-pasukan lain.

"Semangat mereka sepanjang perlumbaan cukup tinggi dan saya harap ini dapat diteruskan pada perlumbaan peringkat kedua esok (hari ini)," tegasnya.

Bagaimanapun, semalam seorang pelumba negara, Zamri Salleh mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika berada 4km daripada garisan penamat.

Begitu pun, Zamri berjaya menamatkan perlumbaan dan disahkan cergas untuk berkayuh pada peringkat berikutnya.

No comments: