Tuesday, January 20, 2009

Awas kebangkitan Akmal


MESKIPUN perhatian mungkin tertumpu kepada jaguh pecut negara, Anuar Manan pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009 minggu depan, namun ia tidak menjejaskan semangat pelumba muda, Mohd. Akmal Amrun.

Pelumba pasukan MCF itu yang bakal membuat penampilan pertamanya pada kejohanan tersebut sebenarnya sudah tidak sabar untuk membuktikan kemampuannya selepas terlepas peluang beraksi pada edisi 2007.

Kali ini, selepas mendapat peluang, Akmal (gambar), 22, berazam mahu membuktikan kemampuannya dalam acara pecut sekali gus membantu pasukannya muncul antara 15 pasukan terbaik di Asia.

"Sebenarnya sejak edisi tahun lepas lagi saya sepatutnya menyertai LTdL, tapi terpaksa menarik diri atas masalah peribadi," kata Akmal kepada Kosmo! semalam.

"Sebelum ini saya banyak menyertai kejohanan di luar negara seperti Tour de East Java dan Jelajah Indonesia, jadi ia bukan perkara baru bagi saya.

"Bagaimanapun penyertaan kali ini agak istimewa bagi saya dan saya berazam untuk menggunakan pengalaman beraksi di luar negara bagi membantu rakan sepasukan lain mencapai sasaran yang kami tetapkan," kata pelumba yang lahir daripada Sukan Malaysia (Sukma) 2006 dan 2008 itu.

Menurut Akmal, meskipun laluan pada edisi kali ini dikurangkan, namun dia mengakui masih mampu memberi cabaran kepada pelumba-pelumba lain, terutamanya pada laluan berbukit.

Justeru pelumba dari Selangor ini berharap persefahamannya dengan rakan sepasukan seperti Amir Mustafa Rosli, Suhardi Hassan, Mohd. Rauf Nur Nisbah, Mohd. Faris Abd Razak, Mohd. Nor Riduan Zainal, Firdaus Daud mampu menghadirkan sedikit kejutan buat peminat negara.

"Walaupun kami baru berlatih bersama sejak tiga minggu lepas, saya rasa persefahaman dan komunikasi antara kami semakin baik.

"Sebelum ini pun kami pernah berlumba bersama-sama dalam beberapa kejohanan, jadi tidak timbul masalah mengenainya.

"Saya harap segala strategi yang akan digunakan nanti berhasil dan kami mungkin mampu mencipta kejutan di tempat sendiri," katanya yang lebih gemar kepada acara pecut berbanding pendakian.

Seramai 14 pelumba pasukan negara dan MCF kini sedang menjalani latihan pusat di Genting Highlands selama dua minggu sebagai persiapan terakhir menjelang LTdL 2009 yang bermula pada 9 hingga 15 Februari depan.

No comments: