Sunday, August 9, 2009

Fauzan raih dua emas -- Harian metro.com.my



KEMUNCULAN semula Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi ke kancah trek negara mula menampakkan hasil apabila dia mengungguli saingan hari kedua Mini Olimpik dengan kejayaan merangkul dua pingat emas.

Fauzan mempamerkan rentak kayuhan cemerlang menerusi acara kejar mengejar individu sebelum turun sekali lagi membantu rakannya, Amir Mustafa Rusli, Mohammad Akmal Amrun dan Muhammad Zamani Mustarudin dalam acara kejar mengejar berpasukan.

Namun kejayaan itu dianggap sebagai satu permulaan terutama kerana baru empat bulan kembali berkayuh dan sebulan berada di bawah bimbingan ketua jurulatih, John Beasley di Melbourne.

Masa yang dicatatkan oleh pelumba dari Pulau Pinang itu bagaimanapun masih jauh daripada rekod kebangsaan dan apa yang disasarkan Beasley sendiri.

“Saya baru bermula dan perlahan-perlahan cuba untuk mendapatkan semula rentak terbaik. Masa yang saya catatkan pun sebenarnya tidak memuaskan.

“Sasaran saya selepas ini adalah untuk merangkul pingat di sukan Asia dan juga Komanwel dan berharap dapat membuat catatan masa yang lebih baik. Kombinasi tiga pelumba dalam acara berpasukan juga semakin serasi dan kami hanya perlu memberi tumpuan untuk memperbaiki masa,” katanya.

Rekod kebangsaan dalam acara kejar mengejar berpasukan, 4 minit 20 saat dipegang Amir, Akmal, Mohd Hariff Salleh dan Jasmin Ruslan.

Pemenang pingat emas Sukan Sea, Manila dalam acara kejar mengejar berpasukan itu selepas ini akan turun beraksi dalam acara yang sama di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kalimantan, Indonesia pada 15 Ogos ini.

Mengulas mengenai cabaran di ACC, Fauzan berkata, China mempunyai pelumba yang bagus dan rekod yang dicatatkan pelumba tembok besar itu dalam acara berpasukan adalah 4 minit 10 saat.

Sementara itu dalam acara pecut 200 meter, ketiadaan Azizulhasni Awang membuka ruang bagi Muhamad Edrus Md Yunos merangkul emas menewaskan Junaidi Mohamad Nasir untuk perak dan Mohamad Hafiz Mohamed Sufian, gangsa.

Dalam acara 3km kejar mengejar perseorangan, keunggulan Uracca Leow Hoay Sim masih belum tercabar apabila merangkul emas dengan Nurul Ahmar Badeuzzaman dan Nurain Abdul Malek, masing-masing perak dan gangsa.


more news
utusan malaysia -- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm



Berita harian online.--- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sukan/20090809003034/Article/index_html