Wednesday, February 11, 2009

Pelumba kita gagal kekal rentak


AKSI cemerlang pada saingan pembukaan Kejohanan lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009 kelmarin nampaknya gagal diulangi pelumba negara pada saingan peringkat kedua semalam.

Pada peringkat pembukaan dari Putrajaya ke Senawang kelmarin, tiga pelumba negara, Ahmad Haidar Anuawar, Anuar Manan (pasukan kebangsaan) dan Mohd. Akmal Amrun (pasukan MNCF) mempamer kayuhan cemerlang apabila menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terpantas.

Namun, hanya tiga pelumba saja yang mampu menduduki kelompok 20 pelumba terpantas pada saingan kedua dari Senawang ke Melaka semalam iaitu dua pelumba kebangsaan, Haidar (tempat ke-12) dan Nor Rizuan Zainal (ke-14) serta pelumba MNCF, Mohd. Faris Abd. Razak (ke-17).

Lebih menyedihkan ialah nasib berbeza yang menimpa Anuar dan Akmal.

Anuar terpaksa akur dengan masalah tayar basikalnya yang pancit pada baki 10 kilometer terakhir, manakala Akmal pula mengalami kemalangan pada 5km terakhir sebelum garisan penamat.

Begitupun, ia tidak mengubah tanggapan jurulatih merangkap koordinator pasukan kebangsaan dan MNCF, Jamaluddin Omar bahawa anak buahnya kini sudah menunjukkan kematangan dan mampu memberi saingan kepada pelumba profesional yang lain.

"Saya bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh semua pelumba kita," kata Jamaluddin semalam.

"Pelumba kita banyak mempamerkan peningkatan yang memberangsangkan dalam kejohanan edisi ini. Jika dulu mereka takut nak buat kayuhan pemisah, kini tidak lagi.

"Jika ada pelumba lain membuat pemisah, mereka juga akan mengejar dan tidak akan biar ditinggalkan begitu jauh atau lebih lima minit.

"Inilah yang perlu ada dalam diri mereka untuk bersaing dengan pelumba profesional lain," kata Jamaluddin.

Begitupun, beliau mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pelumba negara sekiranya mahu setaraf dengan pelumba handalan dari benua lain terutama dari Eropah.

"Memang pelumba kita masih dalam proses pembelajaran, tapi mereka menunjukkan kematangan. Ini yang sangat mengujakan," katanya.

"Pelumba kita masih muda, namun mereka ada banyak masa untuk belajar dan menimba pengalaman."

No comments: