Wednesday, September 2, 2009

Akmal membara -- Harian Metro

Akmal membara
Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

KEMBALI daripada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang berlangsung di Kalimantan dua minggu lalu memberi semangat berbeza kepada pelumba negara, Muhammad Akmal Amrun sekembalinya menyambung latihan di Melbourne di bawah kendalian John Beasley.

Harapan pelumba berusia 22 tahun semakin tinggi untuk menebus kehampaan ketika di ACC selepas gagal menyerlah. kerana keadaan pasukan yang tidak mengizinkan.

“Ketika di ACC tempoh hari hanya saya dan (Muhammad) Fauzan (Ahamad Lutfi) yang mengambil bahagian kerana dua lagi rakan iaitu Amir (Mustafa Rusli) dan (Mohd) Zamani (Mustaruddin) demam panas.

“Jadi sukar untuk kami melakarkan keputusan baik ketika tenaga dalam pasukan tidak mencukupi,” katanya yang menyertai acara madison dan scracth di ACC.

Apapun jelasnya, dia masih mempunyai masa mempertingkatkan prestasi untuk menghadapi memperbaiki keadaan itu dengan tahun depan menjadi tahun paling getir buat dirinya untuk membuktikan sesuatu ketika di Sukan Komanwel dan juga Sukan Asia selain Kejohanan Basikal Dunia.

Akmal berkata, latihan di Melbourne bersama Beasley memberi satu kepuasan apabila banyak peningkatan dapat direalisasikan terutama dari segi teknik dan skil yang menjadi faktor utama.

Katanya, biarpun corak latihan sedikit keras namun ia mendatangkan satu kepuasan tambahan pula ketika skuad negara dalam persiapan menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan.

“Jika boleh saya mahu menyerlah di Sukan Asia dan meraih pingat tidak kira apa juga warna.

“Untuk merangkul pingat bukanlah sesuatu yang mustahil tapi saya perlu berusaha lebih keras selepas ini dan masih ada masa untuk terus berlatih.

“Ketika ini saya memberi tumpuan kepada acara madison, scracth dan perlumbaan mata kerana ia dilihat mempunyai peluang selain dalam acara kejar mengejar berpasukan,” katanya.

Nama Akmal bagaimanapun kurang dikenali biarpun mencipta kejayaan cemerlang tahun lalu dengan menguasai jersi pecut di Jelajah Asia Tenggara selama lapan peringkat sebelum terpaksa melepaskannya kepada pelumba Russia pada peringkat terakhir selain turut cemerlang di Jelajah Hong Kong Shanghai.