Thursday, June 25, 2009

UTUSAN 25JUN - Basikal tetap ke Melbourne

KUALA LUMPUR - Latihan skuad lumba basikal negara yang dijadualkan minggu depan di Melbourne, Australia tetap akan diteruskan walaupun diancam virus influenza A (H1N1).

Timbalan Presiden, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, seramai enam pelumba basikal akan bertolak pada 30 Jun depan.

"Ia adalah penyakit merebak, jadi kami akan melarang atlet dari bercampur dengan orang ramai, sebaliknya menumpukan kepada latihan yang dijalankan di velodrome," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jelasnya, atlet akan berada di bawah kawalan ketat termasuk ketika latihan bagi mengelak mereka bersua dengan orang ramai.

"Mereka tetap akan menjalani latihan seperti biasa cuma apa yang diterapkan dalam latihan tersebut ialah kawalan pergaulan yang ketat.

"Kalau boleh kami tidak mahu mereka berada dalam kawasan yang terdedah dengan orang ramai kerana menyedari virus ini berisiko tinggi dan merbahaya," katanya.

Kata Naim, antara pelumba yang akan menyertai latihan sebagai persiapan ke Kejohanan Basikal Asia (ACC) di Jakarta 14 Ogos ini ialah Josiah Ng, Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa, Edrus Yunos manakala Rizal Tisin hanya akan berlatih di Kuala Lumpur.

Tambahnya, kesemua atlet tersebut akan pulang semula ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Jakarta bagi menyertai Kejohanan ACC.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kementeriannya setakat ini belum bercadang mengeluarkan arahan menghalang atlet daripada menyertai kejohanan di luar negara.

Namun, Shabery menegaskan, kementeriannya akan mengambil kira pandangan Institut Sukan Negara (ISN) dan nasihat Kementerian Kesihatan sebelum membuat keputusan mengenainya

No comments: